Alfatihah buat ninda yang tercinta, Hj.Gempal Bin Alang.
Dalam kesempatan bercuti sebelum saya melanjutkan pelajaran ke luar negeri pada 1986, saya dapat menghabiskan masa yang agak lama di Batu Kurau,Perak.
127,Belakang Pekan,Batu Kurau, Perak.
Disinilah kediaman nindaku sehingga hayatnya yang terakhir.
Diceritakan pada mulanya beliau menetap tinggal di Kuala Kangsar sebelum memiliki sebuah rumah di bandar Taiping. Kerjayanya sebagai seorang guru diakhirinya di Sekolah Kebangsaan Tok Sajak Batu Kurau. Jawatan yang terakhir dipegangnya adalah seorang Guru Besar.
Dengan berbekalkan wang pencen yang diambil hampir setiap bulan di Pekan Taiping membolehkan beliau menyara dirinya dan keluarga yang sama-sama dibesarkan di Batu Kurau.
Beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 1991 setelah kematian isterinya dan anaknya,Mokhtar (Pak Long atau lebih dikenali mamak Sam) pada tahun yang sama.
Meninggal dunia pada usia 96 tahun. Dicatat sebagai mati tua di surat mati.Tahun kelahirannya tidak begitu pasti ..tetapi sekitar penghujung 1890an (anggarannya Tahun 1895).
Dikhabarkan sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir (sekitar jam 11pagi), Beliau sempat memanggil kesemua ahli keluarga yang terdekat untuk menyampai bicara hatinya yang terakhir.
Sebelum tahun 1986, saya agak jarang ke Batu Kurau. Adapun bertemankan arwah Bonda Asbah dan ninda Musa Rashid dari Kampung Gunung Mesah Hilir, Perak saya berkesempatan ke sana
dengan waktu yang agak singkat.
Masih ingat lagi kenangan manis bersama beliau bila saya berada di Batu Kurau. Saya merupakan diantara cucu yang digemari beliau. Pada kesempatan itulah, saya dapat mengenali beliau dengan lebih dekat.
Sesudah bersara, rutin beliau adalah seperti berikut:-
Jam 4.30-5 pagi, beliau akan bangun dan bersiap untuk menunaikan solat subuh. Lazimnya sebelum beliau uzur, beliau akan berjalan kaki ke Masjid. Sepanjang hidupnya, beliau tidak memiliki motorsikal ataupun kereta.
Jam 6.30pagi, beliau membuka semua tingkap-tingkap di rumah berdekatan bilik tidur beliau dan kawasan makan. Beliau tidak sama sekali masuk ke kawasan bawah rumah (yang tersedia televisyen dan ruang rehat kami di waktu siang).
Jam 7 pagi, beliau akan membuka radio untuk mendengar berita Jam 7.
Jam 7.30pagi, beliau akan bersarapan. Lazimnya, beliau akan membaca akhbar tempatan. Dulunya, beliau membaca Utusan Zaman, akhbar Jawi.
Jam8.30pagi, beliau akan memanggil sepupu saya untuk ke pasar membeli lauk-pauk. Beliau akan menyediakan sehelai kertas yang siap dengan lis barangan yang hendak dibeli.
Jam9 pagi, beliau akan menulis diarinya. Pernah saya terbaca tulisannya yang agak menarik bagai seorang pengarang.
Antaranya " Suasasa pagi agak hening. ......'"
Sayangnya, saya tak berkesempatan untuk menyimpannya sesudah beliau meninggal dunia kerana almari buku-bukunya habis dimakan anai-anai. Saya hanya sempat menyimpan sebuah buku agama tulisan HAMKA yang dicetak pada tahun 1969 -Pegangan Hidup Seorang Muslim. Diselitnya sekeping tiket bas sebagai penanda buku dan tercatat tarikh beliau membeli buku tersebut.
Jam 10 hingga 11 pagi- kebiasaannya beliau akan membaca buku dan kitab-kitab lama.
Sebelum ke masjid untuk solat Zuhur, beliau akan tidur seketika.
Waktu makan tengaharinya adalah selepas Solat Zohor.
Petang - Masanya dihabis dengan berehat sebelum Asar dan membaca buku/majalah.
6.30 petang - rutinnya seperti biasa akan menutup semua tingkap-tingkap. mandi dan bersiap sebelum Magrib
9 malam - Sesudah Isya, beliau dan ninda Hajjah Fatimah akan makan malam. Saya, Sallehuddin, Zubaidah
sepupu saya pernah bersama-sama makan makan dengan beliau.
Sepanjang hidupnya, beliau tidak merokok dan tidak pernah langsung melihat beliau menonton televisyen bersama-sama kami, cucu-cucunya.
CATATAN 11OGOS2013